Isnin, 3 Januari 2011

Melukis dengan Perspektif Linear (bahagian 2)

Sebelum kita mula melukis dengan menggunakan bantuan perspektif linear, ada beberapa perkara yang kita perlu ketahui. Perspektif linear bukanlah satu cara yang mutlak untuk melukis objek dengan tepat, tapi adalah satu kaedah untuk membantu kita ‘melihat’ objek dalam dunia nyata (3 dimensi). Perspektif linear adalah satu kaedah yang dapat membantu pelukis/artis/pereka melukis dan menghasilkan imej yang nampak ‘real’ tapi penggunaan perspektif yang melampau akan merosakkan komposisi lukisan yang dihasilkan.

Perspektif linear adalah cara melihat objek pada satu titik penglihatan (viewpoint) pada satu arah penglihatan (view direction). Dengan kata lain, jika pemerhati mengalihkan arah permandangan ke tempat lain, maka perspektif yang terhasil akan berubah. Jadi semasa melukis menggunakan perspektif, pemerhati perlu berada di satu tempat memandang ke satu arah sahaja. Perbezaan arah penglihatan dan jenis perspektif yang terhasil akan diterangkan di bawah.

Mata kita mempunyai ruang penglihatan sebanyak 90° dan kita tidak dapat melihat mana-mana objek (atau imej) yang berada lebih dari 90° ruang penglihatan kita.

ruang penglihatan manusia

Walaupun kita mempunyai ruang penglihatan sebanyak 90°, namun kita hanya melihat sekitar 35° hingga 60° sahaja. Dalam satu kajian yang dijalankan, rata-rata individu akan mengatakan bahawa ruang penglihatan mereka tertutup sepenuhnya jika ruang penglihatan mereka ditutup sebanyak 20°.

Kita boleh menghasilkan replika ruang penglihatan kita menggunakan perspective setup seperti ilustrasi di bawah:

perspective setup

Untuk memudahkan pemahaman, kita akan mengandaikan perkara berikut:

  • permukaan tanah (ground plane) dan kaki langit (horizon) adalah rata.
  • sebarang imej melebihi 90° ruang penglihatan tidak akan terhasil (tak nampak).
  • pemerhati memandang pada satu arah dan pada satu kedudukan sahaja (tidak bergerak).

Corak berpetak di permukaan tanah (ground plane) merupakan perspective gradient. Semakin perspective gradient menghampiri kaki langit (horizon), tekstur akan berubah menjadi corak (pattern) dan akan bertukar menjadi warna (color). Rujuk bahagian 1 jika masih tidak jelas.

PERSPEKTIF Garis Selari (Orthographic)

Perspektif garis selari atau orthographic biasanya digunakan dalam lukisan pelan. Tujuan dalam lukisan ini bukanlah untuk menghasilkan ilusi 3 dimensi sebaliknya untuk memberi gambaran rupa objek dengan ukuran yang tepat.

perspektif garis selari (orthographic)

Perspektif orthographic tidak praktikal digunakan dalam lukisan kerana ia tidak memberi ilusi jarak jauh dan dekat. Oleh kerana semua garisan adalah selari, maka tidak wujud perspective gradient dan semua rupa objek akan kelihatan sama dari segi tekstur dan saiz tidak kira jauh atau dekat.

Perspektif satu titik lenyap

Perspektif satu titik lenyap mempunyai (duh) satu titik lenyap. Semua garisan pada imej akan bertemu di titik lenyap yang terletak di kaki langit (horizon). Semua garisan menegak adalah selari, begitu juga dengan garisan melintang yang akan selari dengan garisan kaki langit (horizon).

perspektif satu titik lenyap

Pelukis-pelukis aliran Neo-Klasik dan Renaissance gemar menggunakan teknik perspektif satu titik lenyap dalam lukisan-lukisan mereka. Perspektif jenis ini mempunyai titik fokus yang kuat. Mata permerhati akan tertumpu ke arah titik lenyap dan akan menghasilkan impak yang kuat jika digunakan sebaiknya.

Massaccio - Tribute Money

Pierro della Francesca - The Flagellation

Antara kelemahan menggunakan perspektif satu titik lenyap adalah komposisi; titik lenyap perlu berada di tengah-tengah lukisan. Jika titik lenyap di letakkan di sebelah kanan atau kiri, ia akan menghasilkan lukisan yang tidak seimbang.

Perspektif dua titik lenyap

Perspektif dua titik lenyap adalah perspektif yang biasa digunakan dalam lukisan-lukisan. Garisan melintang akan bertemu di titik lenyap manakala garisan menegak adalah selari antara satu sama lain.

Perspectives02

Titik lenyap dalam lukisan perspektif dua titik lenyap boleh diletakkan di mana-mana bahagian asalkan ia terletak di garisan horizon.

mencari titik lenyap Walaupun perspektif dua titik lenyap dapat memberi ilusi kedalaman 3 dimensi dalam lukisan, tapi ia tidak dapat memberikan ilusi ketinggian.

Perspektif Tiga titik lenyap (Aerial view/worm eye view)

Perspektif tiga titik lenyap biasanya digunakan dalam lukisan melibatkan bangunan tinggi. Perspektif jenis ini memberi ilusi kedalaman dan jarak jauh/dekat yang jelas. Impak dari lukisan perspektif jenis ini adalah kuat.

perspektif tiga titik lenyap

Dalam perspektif tiga titik lenyap, titik lenyap berada di lingkaran 90° ruang penglihatan. Kaedah perspektif tiga titik lenyap adalah rumit dan boleh menghasilkan herotan (distortion) jika digunakan berlebihan.

Perspectives11

Perspectives12

Kelemahan dan beberapa masalah dalam perspektif akan diterangkan dalam bahagian seterusnya.

Bersambung…

Ahad, 2 Januari 2011

Melukis dengan Perspektif Linear (bahagian 1)

Perspektif di dalam dunia

Perspektif linear (linear perspective) bermula dengan represenstasi dunia nyata tapi kadang-kala ia kelihatan seperti mengikut peraturan geometri yang abstrak. Ia boleh digunakan untuk melukis dunia 3 dimensi di ruang yang tidak terhad dengan menyusun segalanya di satu titik pemerhati (viewpoint).

Jika korang pernah melukis menggunakan perspektif, maka pendekatan perspektif linear yang aku nak terangkan ni mungkin kelihatan pelik dan janggal. Tutorial perspektif yang lain biasanya memberi pendekatan kepada objek yang hendak dilukis. Penekanan dalam perspektif linear adalah pemerhati (viewer): perspektif linear adalah imej dua dimensi pada titik pemerhati (viewpoint) dan arah penglihatan (direction of view). Perspektif linear boleh dikatan sebagai cara kita melihat dunia dan ia berkaitan dengan asas penglihatan mata kita. Aku akan terangkan beberapa asas tentang bagaimana kita melihat satu-satu objek dan cuba menghasilkan imej atas permukaan 2D dan seterusnya aku akan terangkan bagaimana beberapa kelemahan dan had dalam perspektif boleh digunakan untuk menghasilkan kerja-kerja seni dan artistik.

Mungkin ada baiknya aku tidak hasilkan tutorial '”cara untuk melukis” atas kesedaran bahawa seseorang itu perlu ada asas pemahaman tentang pembinaan perspektif. Untuk memahami apa itu perspektif, seseorang perlu sedar bahawa ia sentiasa ada sekeliling kita dan segala benda – meskipun tiada bangunan atau garis lurus tidak kelihatan.

 

Jalinan (Texture) di dalam ruang

Bagaimana kita melihat? Kita melihat sesuatu imej apabila cahaya yang terkena pada objek dipantulkan dan masuk ke dalam mata kita dan diterjemahkan kepada isyarat elektrik oleh retina dan ditafsirkan oleh otak. Tapi bagaimana kita mengetahui sesuatu objek itu jauh atau dekat?

Segala benda yang membantu kita melihat objek jauh atau dekat dikenal sebagai distance cue. Secara kasarnya, distance cue dibantu oleh sifat kesamaan geometri yang ada dalam ruang 3 dimensi (apa tu?), dan kesamaan geometri iniliah yang cuba disampaikan menggunakan perspektif linear.

Distance cue yang paling hebat adalah binocular parallax, iaitu perbezaan antara dua imej yang terhasil di dalam mata yang terhasil kerana perbezaan jarak antara 5cm-7cm. Perbezaan jarak antara mata ini menyebabkan objek yang dekat akan kelihatan ‘beralih’ ke depan dan belakang berbanding dengan objek yang jauh jika kita membuka dan menutup sebelah mata. Otak akan mentafsirkan perbezaan (parallax)  untuk membezakan objek yang dekat dengan objek yang jauh dalam ruang penglihatan; lebih banyak objek tersebut ‘berganjak’ apabila kita menutup sebelah mata, semakin dekat objek tersebut.

Walaubagaimana pun, dalam permukaan dua dimensi (skrin, permukaan kanvas, kertas foto) semua distance cue tidak dapat digunakan. Maka kita perlu menggunakan kaedah lain untuk menghasilkan ilusi ruang 3 dimensi. 

Pada kebiasaannya, kita akan menggunakan ukuran mata kasar untuk menentukan saiz dan jarak sesuatu objek. Pada permukaan 2 dimensi, objek yang besar akan kelihatan lebih dekat berbanding dengan objek yang kecil. Kita juga akan mengukur jarak sesuatu objek berdasarkan kedudukannya berbanding kaki langit (horizon). Objek yang lebih dekat dengan kaki langit akan kelihatan lebih jauh berbanding dengan objek yang jauh dari kaki langit.

Perspectives04 Perbezaan jarak antara dua objek berdasarkan saiz objek

Perspectives05 Perbezaan jarak antara dua objek berdasarkan kedudukan pada kaki langit

Kita lebih cenderung untuk melihat imej sebagai objek yang berbeza-beza (langit, awan, air, laut, pokok) maka sistem penglihatan kita akan menilai jarak berdasarkan hubungan antara objek-objek tersebut dengan sistem yang mudah; objek yang menutup objek yang lain adalah lebih dekat.

overlap

Dalam ilustrasi bulatan sebelah kiri, kita dengan mudah dapat menilai bahawa bulatan yang menutup bulatan yang lain berada lebih dekat (di hadapan). Sekiranya bulatan tersebut dipisahkan oleh bentuk yang tidak normal (kanan), maka hubungan antara jarak dekat dan jauh akan menjadi kabur.

adams

Foto di atas tidak mempunyai satu garis lurus atau garis luar (outline) tapi perbezaan jarak dapat dirasakan dengan ketara sekali. Permukaan batu di hadapan kelihatan amat kasar dan jalinannya amat jelas. Batu-batu yang jauh tidak berapa kelihatan permukaannya dan jalinannya kelihatan bercampur-campur dengan batu-batu lain. Objek yang dekat (biasanya) akan mempunyai kualiti jalinan yang terang dan jelas, manakala objek yang jauh mempunyai jalinan yang kabur dan tidak jelas.

Keadaan ini dikenali sebagai perspective gradient, jalinan dan tekstur akan berubah sifat apabila merentasi jarak sehingga pada satu tahap ia sukar dilihat dengan jelas. Ini tidak bermaksud jalinan dan tekstur itu hilang dari pandangan, tapi ia menjadi sangat kecil sehingga sukar dilihat secara individu (misalnya batu-batu di bawah gunung dalam foto). Jalinan yang terlalu kecil itu akan berubah menjadi corak (pattern). Pengulangan yang ada pada corak ini akan menjadi kecil dan padat dan akhirnya menjadi warna (color).

Perspectives06

Perubahan jalinan dan tekstur merentasi ruang bolah dipermudahkan seperti berikut:

Tekstur > Corak > Warna

texture

Ilustrasi di atas menunjukkan bagaimana sifat dan rupa tekstur berubah apabila dimampatkan (compress). Pada bahagian atas, kita dapat perhatikan bahawa tekstur masih lagi sama cuma mata kita tidak melihat tekstur tersebut dengan jelas maka tekstur tersebut kelihatan bercampur menjadi satu warna pada pandangan mata kasar. Setiap tekstur dan corak mempunyai titik tolak (threshold) di mana jika ia melebihi titik tolak tersebut, maka mata kita akan melihatnya sebagai satu warna.

Perubahan tekstur dan corak apabila melalui perspektif boleh dilihat pada objek sekeliling kita. Ambil pokok oak misalnya. Pada jarak dekat, ciri-ciri daun oak dapat dilihat dengan jelas dan kita melihat setiap daun oak sebagai objek yang berbeza. Setiap dahan dan ranting mempunyai daun pokok oak.

oaks

Apabila kita semakin jauh, ciri-ciri dan tekstur pada daun oak itu akan hilang, di gantikan dengan corak-corak pada pokok oak. Kita tidak melihat daun-daun oak sebagai secara berasingan tetapi sebagai satu kumpulan. Kita tak lagi nampak daun oak tapi kita tahu bahawa setiap corak di hujung ranting dan dahan pokok oak adalah daun oak.

Apabila kita semakin jauh kebelakang, segala tekstur dan corak pokok oak akan hilang menjadi satu kelompok warna. Segala ciri invidual daun dan dahan pokok oak menjadi terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Pada jarak yang amat jauh, pokok oak akan kelihatan seperti tompokan-tompokan warna hijau sahaja.

Perubahan tekstur dan corak apabila sesuatu objek semakin jauh perlu diberi penekanan apabila kita melukis. Segala warna, bentuk dan sapuan berus yang digunakan mesti menggambarkan samada kita melukis objek yang dekat atau jauh. Kita kena ingat bahawa melukis objek yang jauh bukanlah bermakna seperti melukis objek yang dekat, cuma lebih kecil. Objek yang jauh mempunyai sifat-sifat yang tersendiri, berbeza dengan objek yang dekat seperti mana yang telah diterangkan.

futuristic_city

Contoh artwork yang mengaplikasikan perubahan tekstur dan corak dalam perspektif.

Bersambung..

Takkan baca je? Komen sikit..

Link