Isnin, 3 Januari 2011

Melukis dengan Perspektif Linear (bahagian 2)

Sebelum kita mula melukis dengan menggunakan bantuan perspektif linear, ada beberapa perkara yang kita perlu ketahui. Perspektif linear bukanlah satu cara yang mutlak untuk melukis objek dengan tepat, tapi adalah satu kaedah untuk membantu kita ‘melihat’ objek dalam dunia nyata (3 dimensi). Perspektif linear adalah satu kaedah yang dapat membantu pelukis/artis/pereka melukis dan menghasilkan imej yang nampak ‘real’ tapi penggunaan perspektif yang melampau akan merosakkan komposisi lukisan yang dihasilkan.

Perspektif linear adalah cara melihat objek pada satu titik penglihatan (viewpoint) pada satu arah penglihatan (view direction). Dengan kata lain, jika pemerhati mengalihkan arah permandangan ke tempat lain, maka perspektif yang terhasil akan berubah. Jadi semasa melukis menggunakan perspektif, pemerhati perlu berada di satu tempat memandang ke satu arah sahaja. Perbezaan arah penglihatan dan jenis perspektif yang terhasil akan diterangkan di bawah.

Mata kita mempunyai ruang penglihatan sebanyak 90° dan kita tidak dapat melihat mana-mana objek (atau imej) yang berada lebih dari 90° ruang penglihatan kita.

ruang penglihatan manusia

Walaupun kita mempunyai ruang penglihatan sebanyak 90°, namun kita hanya melihat sekitar 35° hingga 60° sahaja. Dalam satu kajian yang dijalankan, rata-rata individu akan mengatakan bahawa ruang penglihatan mereka tertutup sepenuhnya jika ruang penglihatan mereka ditutup sebanyak 20°.

Kita boleh menghasilkan replika ruang penglihatan kita menggunakan perspective setup seperti ilustrasi di bawah:

perspective setup

Untuk memudahkan pemahaman, kita akan mengandaikan perkara berikut:

  • permukaan tanah (ground plane) dan kaki langit (horizon) adalah rata.
  • sebarang imej melebihi 90° ruang penglihatan tidak akan terhasil (tak nampak).
  • pemerhati memandang pada satu arah dan pada satu kedudukan sahaja (tidak bergerak).

Corak berpetak di permukaan tanah (ground plane) merupakan perspective gradient. Semakin perspective gradient menghampiri kaki langit (horizon), tekstur akan berubah menjadi corak (pattern) dan akan bertukar menjadi warna (color). Rujuk bahagian 1 jika masih tidak jelas.

PERSPEKTIF Garis Selari (Orthographic)

Perspektif garis selari atau orthographic biasanya digunakan dalam lukisan pelan. Tujuan dalam lukisan ini bukanlah untuk menghasilkan ilusi 3 dimensi sebaliknya untuk memberi gambaran rupa objek dengan ukuran yang tepat.

perspektif garis selari (orthographic)

Perspektif orthographic tidak praktikal digunakan dalam lukisan kerana ia tidak memberi ilusi jarak jauh dan dekat. Oleh kerana semua garisan adalah selari, maka tidak wujud perspective gradient dan semua rupa objek akan kelihatan sama dari segi tekstur dan saiz tidak kira jauh atau dekat.

Perspektif satu titik lenyap

Perspektif satu titik lenyap mempunyai (duh) satu titik lenyap. Semua garisan pada imej akan bertemu di titik lenyap yang terletak di kaki langit (horizon). Semua garisan menegak adalah selari, begitu juga dengan garisan melintang yang akan selari dengan garisan kaki langit (horizon).

perspektif satu titik lenyap

Pelukis-pelukis aliran Neo-Klasik dan Renaissance gemar menggunakan teknik perspektif satu titik lenyap dalam lukisan-lukisan mereka. Perspektif jenis ini mempunyai titik fokus yang kuat. Mata permerhati akan tertumpu ke arah titik lenyap dan akan menghasilkan impak yang kuat jika digunakan sebaiknya.

Massaccio - Tribute Money

Pierro della Francesca - The Flagellation

Antara kelemahan menggunakan perspektif satu titik lenyap adalah komposisi; titik lenyap perlu berada di tengah-tengah lukisan. Jika titik lenyap di letakkan di sebelah kanan atau kiri, ia akan menghasilkan lukisan yang tidak seimbang.

Perspektif dua titik lenyap

Perspektif dua titik lenyap adalah perspektif yang biasa digunakan dalam lukisan-lukisan. Garisan melintang akan bertemu di titik lenyap manakala garisan menegak adalah selari antara satu sama lain.

Perspectives02

Titik lenyap dalam lukisan perspektif dua titik lenyap boleh diletakkan di mana-mana bahagian asalkan ia terletak di garisan horizon.

mencari titik lenyap Walaupun perspektif dua titik lenyap dapat memberi ilusi kedalaman 3 dimensi dalam lukisan, tapi ia tidak dapat memberikan ilusi ketinggian.

Perspektif Tiga titik lenyap (Aerial view/worm eye view)

Perspektif tiga titik lenyap biasanya digunakan dalam lukisan melibatkan bangunan tinggi. Perspektif jenis ini memberi ilusi kedalaman dan jarak jauh/dekat yang jelas. Impak dari lukisan perspektif jenis ini adalah kuat.

perspektif tiga titik lenyap

Dalam perspektif tiga titik lenyap, titik lenyap berada di lingkaran 90° ruang penglihatan. Kaedah perspektif tiga titik lenyap adalah rumit dan boleh menghasilkan herotan (distortion) jika digunakan berlebihan.

Perspectives11

Perspectives12

Kelemahan dan beberapa masalah dalam perspektif akan diterangkan dalam bahagian seterusnya.

Bersambung…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Takkan baca je? Komen sikit..

Link