Selasa, 5 April 2011

Sama tapi tak serupa – Animasi, Anime dan Kartun

::Post ni sepatutnya diletakkan di blog Kidd Playground. Tapi oleh kerana mungkin ada pembaca yang berminat dengan anime dan animasi, maka penulis letakkan post ini di blog Kidd Canvas::

ABSTRAK

Siapa yang tak tahu animasi, memang tipu la. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai animasi, tidak kira la samada melalui siri bersiri, iklan ataupun muzik video. Genre animasi ini dah mula mendapat perhatian meluas, dan yang ironinya genre yang selalu dikaitkan dengan kanak-kanak ini mula dieksploitasi oleh dan diterima oleh pelbagai golongan termasuklah golongan dewasa.

Jika ditanya siapa Raja Animasi, secara majoritinya orang akan menjawab Walt Disney. Tidak perlu diperkenalkan lagi siapa beliau, tetapi jika ada pembaca yang masih duduk dalam gua berminat untuk tahu dengan mendalam, boleh la baca biografi beliau di sini dan di sini. Empayar besar Walt Disney telah menghasilkan pelbagai animasi yang sampai hari ni membawa pulangan yang menguntungkan. Susah nak bayangkan animasi The Lion King tu dah berjaya mengutip pulangan $783 juta worldwide dan sekaligus memegang rekod animasi 2D yang paling lumayan pulangannya.

Jika Walt Disney memegang tahta Raja Animasi lukisan tangan, maka tahta Raja Animasi 3D (CGI) jatuh kepada PIXAR Animation Studio. Filem animasi Finding Nemo yang pecah panggung tentang ikan yang mencari anak di serata lautan berjaya mengutip $868 juta worldwide. Berenang la Merlin dan Nemo tu dalam lautan $$$ pulak.

Jika Barat boleh berbangga dengan animation mereka, Jepun pun tak mahu mengalah untuk bersaing dalam bidang hiburan ni. Jepun mempunyai stail animasi yang unik; dengan mata yang besar dan rambut yang lagi banyak dari warna yang ada pelangi – Anime. Oleh kerana kebanyakan siri anime adalah berdasarkan manga, maka ada sesetengah orang yang menggunakan istilah Manganime. Pengaruh anime dalam kehidupan rakyat jelata di muka bumi ini tidak perlu dipertikaikan – daripada pertandingan Cosplay, sehinggalah kepada penggunaan slang Jepun (desu, kawai, jaa-ne, konichiwa, itadakimasu, etc, etc) – dan makhluk yang bernama Otaku pula menyembah watak anime pujaan mereka seakan dewa yang turun ke bumi. Dah jadi semacam satu fahaman agama pula.

Penulis terlintas nak buat kajian tentang anime dan animasi selepas terbaca satu artikel yang menyatakan bahawa Osamu Tezuka menghasilkan anime selepas menonton animasi Disney. Dengan kata lain, Osamu Tezuka menghasilkan anime mengikut acuan animasi Disney. Selepas membuat beberapa kajian, ada beberapa fakta menarik yang penulis ingin kongsi bersama berkaitan animasi, anime dan kartun.

DEFINISI ANIMASI

Kita mulakan dengan pemahaman asas terlebih dahulu.

“Animasi adalah beberapa lukisan/frame yang bertukar dengan pantas dan menghasilkan ilusi pergerakan”.

Dari aspek ini, animasi mempunyai ciri yang sama dengan anime dan kartun. Animasi (lukisan tangan) biasanya dikeluarkan dalam format video atau filem. Oleh kerana kebanyakan animasi dihasilkan dari Barat, maka orang akan melabelkan animasi oleh Disney atau Dreamworks sebagai animasi Barat. Sejarah animasi sebenarnya sangat panjang. Pembaca boleh membaca lebih lanjut di sini.

DEFINISI ANIME

Di Jepun, anime (atau animé) adalah merujuk kepada SEMUA animasi, tidak kira samada animasi itu berasal dari dalam atau luar Jepun. Ini kerana secara literalnya, anime memang bermaksud (duh!) animasi. Perkataan anime itu sendiri berasal daripada bunyi animation. Tetapi orang bukan Jepun mengganggap anime sebagai animasi yang berasal dari Jepun.

Anime adalah (stail) animasi berasal dari Jepun yang mempunyai watak bermata besar”.

Pernyataan anime adalah merujuk kepada animasi yang yang berasal dari Jepun adalah 50% tepat. Ini kerana ada syarikat Jepun yang menghasilkan animasi tetapi tidak dilabelkan sebagai anime. Bahkan ada studio yang bukan berasal dari Jepun tetapi animasinya dilabelkan sebagai anime. Macam mana pulak tu?

Kita ambil syarikat anime yang top; Studio 4°C.

Studio 4°C telah menghasilkan banyak anime seperti Tekkon Kinkreet, Spriggan dan juga Princess Arete. Studio ini juga menghasilkan animasi untuk pasaran Barat seperti Gotham Knight, Beyond (Animatrix), dan juga The Second Renaissance (Animatrix). Yang menariknya, siri ini tidak dianggap sebagai anime.

Bagaimana pula dengan animasi yang mempunyai watak bermata besar?

Animasi yang mempunyai watak bermata besar tidak boleh dikategorikan sebagai anime. Untuk menambahkan lagi kekeliruan, watak-watak dalam animasi Disney juga mempunyai mata yang besar. Adakah ini bermakna animasi Disney tergolong dalam kategori anime? Jauh sekali. Persamaan ini terjadi kerana anime menggunakan teknik dan acuan daripada animasi Barat. Jadi ciri watak bermata besar bukanlah tergolong dalam kategori anime.

Tambahan: Kenapa animator melukis watak bermata besar? Mata merupakan bahagian yang berkait rapat dengan emosi. Jadi dengan melukis watak bermata besar, emosi dan perasaan watak itu dapat ditunjukkan dengan jelas. Ciri ini sangat banyak digunakan dalam anime. Ia murah, mudah dan efektif. Kenapa nak lukis mata realistik kalau watak tu hanya keluar 2-3 saat sahaja?

  • The Powerpuff Girl mempunyai persamaan dengan anime (chibi) tetapi oleh kerana ia dihasilkan di US, maka ia dianggap sebagai animasi Barat.
  • Begitu juga dengan siri animasi Cartoon Network yang lain: Teen Titans, Transformers Animated, Dexter’s Laboratory.
  • Watak dalam siri Slam Dunk tidak mempunyai mata yang besar, tapi masih lagi dikategorikan sebagai anime.
  • Lukisan hyper-realistik dalam siri Gantz! juga termasuk dalam kategori anime.
  • Animasi Pucca yang dihasilkan oleh syarikat animasi Korea tetapi ramai yang mengkategorikan sebagai anime.

 

DEFINISI KARTUN

Kartun adalah satu bentuk medium hiburan di mana ia lebih mengutamakan humor dan/atau satira sebagai isi karya. Kartun mula berkembang sejak zaman Renaissance lagi dan banyak menyentuh persoalan politik dan senario kehidupan semasa.

Di Malaysia ni, ramai orang yang melabelkan kartun sebagai ‘animasi yang kelakar’. Upin dan Ipin juga dikategorikan sebagai kartun. Antara studio animasi/individu yang banyak menghasilkan kartun adalah Warner Bros, Walt Disney Animation, Bob Clampet dan Tim Ivery.

Watak kartun yang pertama keluar di kaca televisyen adalah Felix the Cat. Imej Felix digunakan kerana ia mudah dilihat pada televisyen hitam putih pada masa itu.

Watak-watak kartun yang lain:

  • Road Runner
  • Coyote
  • Bugs Bunny
  • Lolla Bunny
  • Duffy Duck
  • Mickey Mouse
  • Minnie Mouse
  • Donald Duck
  • Goofy
  • Woody Woodpecker
  • Tim the Martian
  • Tweety the Bird
  • Sylvester the Cat
  • Tasmanian Devil
  • Marsupilami
  • Freakazoid

 

PERBEZAAN ANTARA ANIMASI BARAT dan ANIME

Penulis dah menonton (agak banyak) koleksi anime dan animasi dan rasanya penulis boleh berikan beberapa perbezaan antara anime dan animasi.

  1. Penceritaan – Penceritaan dalam animasi Barat adalah lebih straightforward dan plot ceritanya ringkas. Berbeza dengan anime, penceritaan dalam anime adalah lebih kompleks dan twisted. Perlu ditekankan di sini bahawa anime yang paling innocent juga kadang-kadang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.
  2. Ekspresi – Animasi Barat menekankan aspek ekspresi watak lebih dari sekadar posisi mulut dan juga mata. Bahasa tubuh badan (body language), pergerakan tangan dan kepala juga diberi perhatian. Anime lebih cenderung kepada penggunaan ekspresi generic seperti peluh besar menandakan kekecewaan, tiga garisan di bucu rambut menandakan hilang semangat, atau bentuk seperti berurat di dahi atau leher untuk menandakan kegeraman atau kemarahan. Watak juga kadang-kadang digambarkan dengan tangan berapi untuk menggambarkan semangat berkobar-kobar.
  3. Lip-sync – Pergerakan mulut dalam animasi Barat adalah lebih lancar (5-6 posisi mulut) jika dibandingkan dengan pergerakan mulut dalam anime (2-3 posisi mulut). Antara sebab mengapa anime menggunakan pergerakan mulut yang sedikit adalah; mudah dilukis dan juga mudah untuk proses alihbahasa.
  4. Tema – Animasi Barat lebih mengutamakan tema kekeluargaan dan ia sesuai ditonton oleh semua. Anime mempunyai tema tertentu untuk golongan tertentu. Misalnya genre mecha (robot gergasi), chibi, shounen, shoujo, hentai, eicchi, yuri, yaoi, bishies, dan lain-lain.

Secara peribadi, animasi Barat mempunyai kualiti animasi yang lebih baik berbanding anime Jepun. Animasi Barat mengutamakan prinsip animasi (principal of animation) seperti easing, anticipation, tension dan timing. Anime biasanya menipu (cheat) dalam penghasilan animasi tetapi jarang dapat dikesan oleh penonton. Misalnya:

  • Scene yang menunjukkan background sahaja seperti bucu rumah atau air pancut dan pada masa yang sama kedengaran suara watak sedang bercakap. Dalam siri anime Fruit Basket, terdapat banyak scene yang menunjukkan awan di langit.
  • Extreme close-up di bahagian mata atau mulut. Kadang-kadang camera akan pan untuk 4-5 saat.
  • Latar belakang berwarna (tanpa imej) untuk pergerakan yang pantas.
  • Watak membelakangi camera ketika bercakap – untuk elakkan daripada perlu animate pergerakan mulut.
  • Scene pertarungan di awan atau padang pasir. Memudahkan animator daripada melukis banyak latar belakang.
  • Letupan melampau-lampau. Satu letupan memakan masa sehingga 2-3 minit. Belum masuk bab scene nak tunggu asap tu hilang lagi.

 

KESIMPULAN

Dari segi medium, kartun, anime dan animasi adalah merujuk kepada perkara yang sama -animasi. Mungkin kerana perbezaan fahaman dan geografi, maka ramai yang menganggap ia adalah perkara yang berbeza. Akan tetapi perbezaan yang sebenar terletak pada cara penyampaian. Setiap medium mempunyai teknik penyampaian berbeza – dan ditujukan untuk golongan yang berbeza. Bagi penulis, penulis tidak mementingkan stail/visual satu-satu animasi/anime/kartun tu, as long as ia menepati selera dan berbaloi ditonton.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Takkan baca je? Komen sikit..

Link