Jumaat, 8 April 2011

Mari bercerita – Villain, Antagonis, dan Orang jahat

AntagonistAntagonis, orang jahat, saintis gila, usahawan korup, atau apa-apa aspek kejahatan tulen. Pada kebiasaannya, orang jahat atau villain adalah individu atau organisasi yang menjadi punca kepada konflik dalam satu-satu cerita. Watak jahat juga memberi kesan negatif kepada watak-watak yang lain.

Dalam cerita dongeng, watak jahat merupakan salah satu daripada ciri persona dramatik. ‘Tugas’ watak jahat dalam satu-satu cerita:

  1. memperkenalkan diri; watak jahat tersebut akan memulakan onar dan halangan pada watak utama, awek atau keluarganya.
  2. wujud konflik antara watak utama dengan watak jahat, disusuli dengan pertarungan epik atau konfrontasi yang lain.
  3. Mengejar watak utama selepas watak utama berjaya mengalahkan atau mendapat sesuatu daripada watak jahat.

Tidak semua ‘tugas’ itu perlu ada dalam satu-satu cerita.

Selain daripada watak jahat yang sememangnya hidup demi melakukan kejahatan, ada dua lagi jenis watak jahat; satu daripadanya adalah hero palsu, iaitu watak berasakan bahawa mereka melakukan kebaikan dan kebenaran, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Misalnya watak kakak tiri dalam cerita Cinderella yang sanggup memotong isi kakinya supaya dapat muat dalam kasut kaca.

Satu lagi watak jahat adalah ‘penghantar’ (dispatcher), yang mana watak ini akan menyuruh watak utama pergi melakukan sesuatu yang pada mulanya kelihatan sebagai sesuatu yang tidak berbahaya. Hakikatnya, watak utama itu disuruh pergi untuk dihapuskan buat selamanya. Nak contoh? Gollum dalam filem Lord of the Rings adalah contoh terbaik.

darth-vader-face Dalam penulisan fiksyen, watak jahat memegang dua peranan penting; sebagai orang yang perlu ditewaskan oleh watak utama, dan juga mempamerkan ciri-ciri yang bertentangan dengan watak utama. Watak jahat juga perlu menggambarkan keinginan untuk mencapai sesuatu (untuk menakluki dunia atau menjadi orang terkuat) yang membolehkan pembaca menilai mereka sebagai watak yang lebih kuat daripada watak utama. Untuk mencapai matlamat ini, watak jahat sewajarnya mempunyai personaliti untuk menunjukkan kewajaran mengapa mereka berbuat kejahatan (mungkin kerana cemburu dengan watak utama atau mahu membuktikan kewujudan mereka di mata orang lain).

HEATH_LEDGER_JOKERWatak utama dan watak jahat adalah umpama Yin dan Yang; mereka mempunyai perbezaan tetapi tidak boleh dipisahkan. Masing-masing saling melengkapi dan saling bertentangan pada masa yang sama. Ambil contoh Batman dan Joker. Batman berperwatakan serius manakala Joker sangat histerikal. Batman menegakkan keadilan manakala Joker suka menimbulkan huru-hara. Bak kata Joker dalam filem The Dark Knights, ‘You (Batman) complete me!

vlcsnap-171343

 Watak jahat yang klasik biasanya suka memakai pakaian gelap, bermisai lentik, kurus kering, dan suka gelak besar (seperti BUAHAHAHAHA!! atau MUAHHHAHAHAH!!) sambil memegang kedua tangan.

Brad Warner menyatakan bahawa “hanya watak jahat dalam kartun (dan komik) sahaja yang akan gelak besar sambil memegang kedua tangan dan mahu menakluki dunia yang penuh kejahatan”.

4054824236_14f2e1c9ca_oTiada watak yang menjadi jahat secara semulajadi. Tiada orang yang bangun pagi-pagi dan terus fikir nak bunuh siapa untuk hari tu. Tiada jeneral yang terus serang negara jiran lepas makan tengahari tanpa ada sebab. Semua orang melakukan sesuatu dengan sebab. Dengan kata lain, watak jahat berbuat kejahatan kerana didorong oleh motif. Motif untuk memerlukan kejahatan ni banyak, antaranya:

  • cemburu
  • pilih kasih
  • balas dendam
  • mahukan pengiktirafan
  • kekuasaan
  • kekayaan, wang atau harta
  • kepuasan
  • wanita
  • nama dan pangkat
  • perasaan tamak haloba 

Ben Bova menggalakkan penulis skrip untuk tidak memasukkan watak jahat dalam penulisan. Beliau menyatakan bahawa:

“Tidak wujuk watak jahat dalam dunia sebenar. Tiada orang yang betul-betul jahat dalam dirinya. (Penulisan) fiksyen mencerminkan kehidupan. Atau lebih tepat lagi, fiksyen adalah kanta untuk memerhatikan aspek kehidupan untuk kita memahami realiti dengan lebih dekat. Tiada watak jahat yang suka ketawa besar sambil tersenyum sini dan mengusap kedua belah tangan. Yang ada hanya manusia yang mempunyai masalah, dan mereka berusaha untuk mengatasi masalah tersebut”

Macam mana nak menghasilkan watak jahat yang mempu menggoncang dunia? Salah satu tekniknya adalah dengan menjadikan watak jahat itu sangat hebat dan sangat kuat hingga watak utama kelihatan tidak mampu melawan watak jahat tersebut. Dengan cara ini, pembaca akan berasa simpati kepada watak utama dan akan menyokong (mengikuti) pengembaraan watak utama dalam usaha untuk mengalahkan watak jahat itu.

Watak jahat yang sangat hebat akan menyebabkan watak utama terpaksa menewaskan watak jahat itu dengan cara yang tidak memerlukan tenaga dan kekuatan. Watak utama akan menewaskan watak jahat dengan menggunakan akal atau taktik alternatif dan penamat seperti ini bukan sahaja memberi kepuasan kepada pembaca, bahkan menunjukkan bahawa si penulis mampu menghasilkan cerita yang baik. Contoh klasik adalah David dan Goliath, di mana David menewaskan Goliath dengan menggunakan lastik. Dalam trilogi Star Wars, Luke Skywalker ‘menewaskan’ Darth Vader dengan cara tidak membunuhnya. Dalam manga Naruto, taktik pertarungan Shikamaru dan Temari semasa peperiksaan Chuunin adalah jauh lebih mendebarkan daripada pertarungan Naruto dan Neji.

Uchiha_Itachi_Returns_by_bruno_qi Walaupun ramai orang yang mengagungkan watak utama, tapi watak jahat ini seringkali menjadi tumpuan. Ada sesetengah villain yang mempunyai kebijaksanaan yang tidak terbatas. Ada juga yang sangat kaya. Ada juga yang mempunyai daya kecekalan yang tinggi kerana walaupun diterajang dan dibelasah oleh si watak utama berkali-kali, mereka masih mampu bangkit dan merancang ancaman durjana yang baru dalam episod berikutnya. Ada yang mengatakan bahawa watak utama itu dinilai berdasarkan watak jahatnya. Maka satu karya yang baik mempunyai watak jahat yang baik (dari segi penulisan). Apa akan jadi kalau watak utama tidak mempunyai watak jahat untuk dikalahkan? Ini hasilnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Takkan baca je? Komen sikit..

Link