Khamis, 31 Mac 2011

No more free drawings! Thank you.

Yup, you heard that one right. I say it again. No more free drawings. Kalau ada yang tak faham bahasa inggeris atau anggap penggunaan bahasa inggeris mencemarkan bahasa, ini adalah terjemahannya: Tiada lagi lukisan secara percuma. Siap letak tulisan bold lagi.

Wait, what? Kenapa tidak melukis secara percuma?

100 tahun dahulu Sebelum ini penulis pernah melukis beberapa potret kenalan sendiri untuk dijadikan promosi hadiah. Sebabkan penulis ni tiada duit rajin berkarya, maka penulis menghasilkan beberapa potret kenalan supaya diorang terpikat dapat mengasah kemahiran melukis.

Malangnya niat murni pelukis itu dapat dihidu seringkali dipandang serong, bahkan ada juga yang menuduh penulis cuba untuk mengorat awek mereka (kononnya) dengan cara melukis potret mereka supaya mereka terpikat.

Ada juga yang mengatakan bahawa penulis cuma menggunakan gambar diorang untuk dijampi dibuat ubat pengasih (wtf?) dan pelbagai lagi tomahan dan celaan yang tidak dapat dinyatakan di sini.

Maka dengan ini penulis ingin sekali lagi menyatakan bahawa penulis tidak akan melukis potret/lukisan individu secara percuma melainkan jika di bayar sahaja. Penulis juga hanya akan meletakkan lukisan potret di blog ini jika, dan hanya jika diberikan kebenaran oleh si empunya potret.

Penulis tidak marah dan menyimpan dendam kepada sesiapa. Penulis sedar tidak ramai yang boleh menerima apa yang penulis buat (sebagai seorang seniman). Cuma penulis perlu akur dengan kehendak orang ramai dan penulis menghormati keputusan mereka untuk tidak menggunakan gambar mereka dan juga orang yang mereka kenal sebagai model lukisan.

Kepada sesiapa yang tersinggung dengan perbuatan penulis, penulis menyusun jari memohon maaf.

Kemalasan dan keasyikan

Penulis tidak pasti samada perkara ini membawa petanda yang baik atau sebaliknya; penulis mula sedar yang penulis mula mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan satu-satu lukisan. Sebelum ini penulis boleh menyiapkan satu-satu lukisan dalam 2-3 jam. Tapi sejak akhir-akhir ni penulis menghabiskan masa hampir 8 jam untuk satu lukisan dan lukisan tu hanya 50% siap.

Adakah terdapat faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku?

Adakah kerana perubahan cara kerja? Penulis masih lagi menggunakan Photoshop untuk membuat kerja-kerja melukis. Tablet Bamboo penulis masih lagi dalam keadaan baik. PC pun tiada masalah.

Adakah kerana perubahan teknik/stail lukisan? Rasanya tiada perubahan. Penulis masih lagi ‘setia’ melukis dengan mengekalkan penggunaan dua layer setiap kali melukis. Penulis masih lagi menggunakan brush setting yang sama. Tiada sebarang plugins atau peralatan tambahan.

Mungkinkah kerana perubahan fisiologi? Apa yang penulis membebel ni?

Penulis tidak pasti jika perkara ini boleh dijadikan sebagai faktor, tetapi penulis mula ‘menikmati’ setiap saat ketika penulis melukis. Mungkin ini yang dinamakan sebagai ‘artist’s high’. Keadaan terawang-awang dan asyik mahsyuk yang seringkali diujarkan oleh sifoo dan pensyarah penulis setiap kali menggambarkan keindahan apabila melukis.

Mungkin kerana terlalu leka dalam dunia sendiri ketika melukis, penulis tidak berasa tiap detik yang berlalu. Sebelum ini penulis memang liat hendak melukis, tetapi jika dikenang kembali betapa lazatnya perasaan ketika memegang pen tablet dan mencalitkan warna di kanvas digital, hilang rasa belenggu dan kemalasan itu, digantikan dengan rasa keasyikan dan kesyahduan setiap kali membancuh warna.

Sebelum penulis terlupa, penulis nak tunjukkan lukisan yang tak siap-siap walaupun lepas 2 hari melukis. Mungkin penulis terlalu leka mewarnakan gitar dan tangan sehingga lukisan ni tak siap-siap.

Girl and Guitar

Masih banyak lagi bahagian yang perlu disiapkan; kasut, gitar, muka, rambut dan jaket. Nampaknya penulis akan banyak menghabiskan masa untuk siapkan lukisan ni. Bila agaknya lukisan ni akan siap? Penulis pun tak tahu.

Rabu, 30 Mac 2011

Contengan

Penulis takder mood nak melukis. Jadi penulis conteng-conteng atas kanvas digital. Hurm..

shock

plantOrkid

plantOrkid2

plantEggplant

Koleksi brushes penulis dah semakin banyak tetapi penulis tidak sempat hendak mencuba semua jenis brush. Jika ada kesempatan, penulis akan berkongsi jenis brushes yang penulis ada.

Until next post. (poof!)

Komik AI – Draf akhir

Beberapa draf akhir untuk komik terbaru yang bertajuk ‘AI’. Kenapa AI? Ada kaitan dengan Adobe Illustrator ke? Nantikan sendiri. Sementara menunggu, jamu dulu mata dengan beberapa draf ni. Enjoy!

page5Draft page10Draft

Nota tambahan: Komik AI merupakan 100% komik digital. Tiada sebarang medium tradisional seperti pensil atau pen dakwat basah digunakan. Jika komik AI kelihatan seperti dihasilkan oleh medium tradisional, itu semua imaginasi pembaca semata-mata (senyum).

Selasa, 29 Mac 2011

Potret Nadiah Sahar

Dah lama tak melukis potret. Mungkin sebab cuaca hujan yang tak menentu ni membuatkan orang kurang berminat untuk menempah potret. Kali ni penulis nak tunjukkan potret yang penulis hasilkan baru-baru ni.

Nadiah

Penulis tahu ramai yang kurang percaya kalau penulis kata penulis lukis sendiri guna Photoshop. Jadi untuk menangkis kekeliruan itu, penulis sertakan sekali progress step by step.

NadiahProgress Klik imej untuk download dalam saiz yang soopa doopa besar ala HD. Feast your eyes, Patrick.

Penulis berhasrat hendak berhenti melukis potret dan mula fokus kepada penghasilan komik dan concept art. Sampai bertemu lagi dalam post akan datang. (poof!)

Isnin, 28 Mac 2011

Mari bercerita – Penghasilan plot dan jalan cerita bahagian 3

Bersambung daripada bahagian 2: Kita sudak mempunyai watak bernama Kudos dan Lana. Kita sudah tetapkan ending bahawa Kudos akan berjaya menewaskan Lana. Fasa Kudos menewaskan Lana merupakan fasa Klimaks dan fasa Pengakhiran. So bagaimana kita hendak masuk fasa Pengenalan dan Perkembangan Cerita?

Kita kena ingat bahawa setiap perkara yang berlaku adalah sebab dan akibat (cause and effects). Saya rasa lapar (sebab) maka saya makan nasik (akibat). Saya geram dengan budak hodoh tu (sebab) maka saya tumbuk muka dia (akibat). Sasuke bencikan abangnya (sebab) maka dia bersumpah untuk membunuhnya (akibat). Bila kita dah tahu apakah akibatnya, maka kita perlu mendapatkan apakah sebabnya sesuatu peristiwa itu berlaku.

Kudos menewaskan Lana (akibat) mungkin kerana:

  • Kudos dah lama bencikan Lana
  • Kudos dah bersumpah akan menewaskan Lana
  • Kudos ada kuasa terpendam (macam Naruto)
  • Kudos ada senjata rahsia
  • Kudos nak tewaskan Lana untuk buktikan bahawa dia adalah orang terkuat di kampung Konoha.
  • Kudos main tipu.

Setiap satu daripada sebab di atas boleh pula dikembangkan lagi. Kenapa Kudos bencikan Lana? Mungkin kerana Kudos beranggapan bahawa Lana adalah pembunuh tok gurunya. Mungkin kerana Lana reject Kudos dan pilih lelaki yang jauh lebih macho dari Kudos. Untuk lebih mengarut lagi, mungkin Kudos bencikan Lana kerana segala harta pusaka yang diwarisinya terletak atas nama Lana dan dengan mengalahkan Lana, dia dapat mewarisi segala harta pusaka itu. Dalam sedar atau tidak, kita sudah mempunyai Pengenalan dan sebab yang akan menjurus kepada Perkembangan Cerita.

  • Pengenalan – Memperkenalkan watak Kudos yang serba miskin dan dihina.
  • Perkembangan Cerita – Kudos terserempak dengan Lana. Lana adalah punca kenapa Kudos menjadi miskin. Kudos berazam mahu menewaskan Lana dan mendapatkan kembali hak harta pusaka (konflik).
  • Klimaks – Kudos menyerang Lana secara hendap. Segala hikmat dan ilmu sakti yang dipelajari digunakan untuk menyerang Lana. Lana cuba menepis serangan Kudos.
  • Pengakhiran – Ketika mahu menewaskan Lana, Kudos terpandang loket di leher Lana. Rupa loket itu adalah sama dengan rantai yang dipakai oleh Kudos.
  • Kesimpulan – Rupanya Kudos dan Lana adalah adik beradik yang jauh terpisah. Lana pulang ke kampung untuk membahagikan harta kepada Kudos.

Bak kata Kaoru dalam komik Klasroom Gempak, sesebuah cerita perlu ada aksi, persahabatan, usaha dan percintaan. Tapi kalau ada satu elemen pun sudah kira baik bagi komik 6 muka surat.

Beberapa elemen tambahan yang boleh digunakan untuk mengembangkan plot dan jalan cerita:

  • Checkov Gun – sesuatu benda yang pada mulanya tidak membawa apa-apa erti tetapi menjadi item penting di kemuncak cerita. Dalam filem Back to the Future, menara jam yang pada mulanya tidak membawa apa-apa maksud akhirnya membolehkan Marty kembali ke masa hadapan. Cincin pemberian atok rupanya mempunyai peta untuk menuju ke gua harta karun.
  • Lampshaded – Peristiwa/perbuatan yang pada mulanya tiada maksud rupanya memberi kesan yang besar di akhir cerita. Dalam Futurama, hobi Fry yang suka menonton TV akhirnya membolehkan dia menewaskan makhluk asing yang datang ke bumi. Dalam Karate Kid, tendangan yang dipelajari ketika berlatih membolehkan watak memenangi kejuaraan peringkat akhir.
  • Flashback – Ingatan semula pada peristiwa lampau. Flashback akan memberi maklumat tambahan tentang sesuatu peristiwa dan mengapa peristiwa itu berlaku.
  • Flashforth – Menunjukkan peristiwa yang bakal berlaku jika sesuatu tindakan diambil. Banyak digunakan dalam drama Lost dan juga filem Shaun of the Dead.
  • Plot device – prop atau alat yang digunakan untuk mengemabnagkan cerita. Tanpa alat ini, cerita itu tidak boleh berkembang. Kehadiran alat itu juga kadang-kadang datang tanpa diundang. Misalnya alat ajaib Doraemon untuk membantu Nobita dan juga gajet tambahan dalam siri Kamen Rider. Penggunaan plot device tidak digalakkan kerana menggambarkan penulisan cerita yang lemah.

Jenis-jenis pengakhiran cerita:

  • Happy ending – orang jahat kalah, hero dan heroin menang, kampung terselamat dan hero mendapat kebahagiaan. Ending yang menjadi pilihan ramai penulis.
  • Sad ending – Hero kalah, orang jahat menang. Ataupun hero menang tapi kehilangan anggota atau ahli keluarga. Ataupun hero boleh menang jika berpisah / mengorbankan orang lain.
  • Twist ending – Pengakhiran yang tidak seperti dijangkakan. Dijangkakan orang jahat mati rupanya masih hidup. Contoh terbaik adalah filem Chaos Theory dan juga Swordfish.
  • Deusex-machina – pengakhiran yang tidak disangka-sangka. Contoh paling faymes adalah cerita si Tanggang di mana dia disumpah menjadi batu. Ataupun tiba-tiba turun hujan api dan membunuh semua orang jahat. Nak lagi popular, muncul si pari-pari dan membantu menewaskan Bawang Merah watak antagonis. Deus ex-machina bermaksud ‘tuhan di dalam mesin’ di mana dalam pementasan teater klasik, tuhan akan turun ke bumi dan menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh para watak. Elakkan penggunaan ending jenis ini kerana nampak sangat penulis cerita ini tiada idea lain.
  • Cliffhanger – Ending jenis ‘tergantung’ dan memujuk pembaca/penonton untuk mengikuti sambungan cerita di keluaran akan datang. Banyak digunakan dalam komik-komik Hong Kong.

Masih banyak lagi cara untuk mengembangkan jalan cerita. Terpulang kepada idea dan kreativiti sang penulis untuk menghasilkan cerita yang menarik. Pokok pangkalnya adalah idea. Jika sang penulis mempunyai idea yang baik dan tahu untuk mengembangkannya, tidak mustahil idea itu akan menjadi cerita yang menarik dan mampu menarik selera penonton. Akhir kata, selamat berkarya dan luaskan daya imaginasi.

Masa untuk memadamkan unggun api. (fooh!)

Ahad, 27 Mac 2011

Mari bercerita – Penghasilan plot dan jalan cerita bahagian 2

Sekarang kita akan teruskan dengan penghasilan plot dan cerita bahagian 2. Sebelum ini kita dah berbincang tentang 5 fasa dalam plot dan penceritaan. Bagaimana kalau kita tiada idea hendak memulakan cerita?

Cara paling mudah untuk memulakan idea adalah tidur menghasilkan watak. Lukis/cipta satu watak protagonis aka hero dan berikan personaliti pada watak tu. Nyatakan apa yang dia suka, apa yang dia benci, dan serba sedikit tentang latar belakang dirinya (berapa bilangan ex-girlfriend, kemahiran, kelemahan, hobi dan sebagainya). Lagi banyak lagi bagus. Rujuk gambar di bawah:

Kudos

Kudos, watak protagonis

Jika tidak tahu hendak letakkan ciri-ciri personaliti pada watak, rujuk pada individu sebenar. Lepas tu kita berikan satu lagi watak samada antagonis atau watak pembantu aka heroin. Letakkan ciri-ciri peribadi dan perwatakan.

Lana

Lana, watak antagonis

Bila dah ada watak-watak, macam mana kita hendak memulakan penceritaan? Instead of memikirkan tentang permulaan cerita, kita boleh mulakan merangka bagaimana kesudahan/ending cerita. Adakah Kudos dan Lana akan berdamai? Adakah mereka akan membina keluarga bahagia? Adakah Lana dapat menewaskan Kudos?

Katakan kita pilih ending Kudos dan Lana dapat membina keluarga bahagia, kita boleh memulakan cerita dengan menerangkan bahawa Kudos dan Lana merupakan pasangan kekasih yang terpisah. Kalau kita pilih ending Kudos dan Lana akan berdamai, kita boleh memulakan cerita yang menyatakan bahawa Kudos dan Lana merupakan musuh ketat. Secara ringkasnya, ending sedikit sebanyak menerangkan bagaimana cerita itu bermula.

Untuk watak Kudos dan Lana, penulis akan memilih ending Kudos berjaya menewaskan Lana. Kenapa Kudos mahu menewaskan Lana? Apa skill yang Kudos dan Lana ada? Adakah Lana ada senjata rahsia? 

Nampaknya kita kena bersambung di post berikutnya.Unggun api dah nak padam. Masa untuk menambahkan kayu api lagi. Stay tune.

Mari bercerita – Penghasilan plot dan jalan cerita bahagian 1

Scene: Di hadapan unggun api di tengah hutan di temani bulan yang terang.

Ada sesiapa yang berminat hendak menghasilkan filem, animasi, kartun atau komik tapi tak tahu bagaimana hendak memulakan cerita? Ada watak yang cool tapi tak tahu macam mana nak mulakan pengembaraan? Mahu hasilkan cerita epik tapi masih beku dan buntu? Kalau begitu, mari berkumpul di sini – TAPI JANGAN DEKAT SANGAT – dan kita akan bercakap tentang penghasilan plot dan jalan cerita.

Untuk memudahkan perbincangan, kita akan gunakan filem Star Wars sebagai contoh. Jadi jika ada yang masih belum menonton Star Wars, sila berbuat demikian sebelum meneruskan pembacaan.

Kita mulakan dengan perkara yang asas dulu: Menurut Aristotle dalam bukunya bertajuk Poetic, penghasilan plot terbahagi kepada 5 bahagian:

  1. Pengenalan
  2. Perkembangan cerita
  3. Klimaks
  4. Pengakhiran
  5. Kesimpulan
PENGENALAN

Dalam fasa pengenalan, kita akan perkenalkan para watak dan kehidupannya. Kita juga akan perkenalkan beberapa latar belakang cerita. Dalam filem Star Wars, kita diperkenalkan dengan watak-watak seperti Luke Skywalker, Princess Leia, Obi-wan Kelubi Kenobi, Darth Vader, R2-D2 dan juga C3P-O. Kita juga ditunjukkan dengan keadaan ketika di bawah pemerintahan Galactic Empire. Luke Skywalker digambarkan sebagai anak muda yang sering dikongkong oleh keluarga angkatnya. Kalau boleh, cuba terangkan keadaan yang normal yang dialami oleh watak-watak.

PERKEMBANGAN CERITA

Dalam fasa ini, watak utama akan mengalami insiden yang bakal mengubah kehidupan dan masa depannya. Perlu diselitkan juga unsur-unsur konflik antara watak untuk menunjukkan ketegangan yang timbul. Dalam filem Star Wars, Luke menerima mesej Princess Leia yang bakal mengubah haluan hidupnya dan menjadi seorang Jedi.

Sedikit nota tentang konflik: Konflik adalah pertembungan dua idea yang bertentangan dan saling mempunyai kebenaran tersendiri. Cerita yang tiada konflik biasanya tidak mempunyai rasa. Contoh:

Watak A: Jom kita makan kat kedai mamak.

Watak B: Jom.

Watak A: Lepas ni kita gi Karaoke plak nak?

Watak B: Ok je.

Watak A: Dah lewat ni, jom balik.

Watak B: Ok.

Rasa sangat hambar kan? Mari kita lihat cerita yang sama tetapi dengan sedikit konflik.

Watak A: Jom kita makan kat kedai mamak.

Watak B: Tak nak lah. Aku ada kerja ni

Watak A: Ada kerja? Kata kerja kau dah siap?

Watak B: Ada lagi la. Kau ni asyik enjoy je. Kerja pun tak buat.

Watak A: Kerja aku dah siap la. Aku suruh Si C buatkan.

Watak B: Kau suruh C buatkan? Aku bagitahu boss baru padan muka kau.

Dengan adanya konflik, jalan cerita boleh dikembangkan lagi. Jika tiada konflik dalam penceritaan, tidak wujudlah cerita. Pendek kata, cerita yang tiada konflik tidak patut dijadikan cerita langsung!

Konflik boleh berkisar tentang:

  • Perbezaan fahaman – ketua kampung yang berbulu dengan pembangunan yang dibawa oleh anak muda yang datang dari bandar.
  • Perbezaan perasaan – si jejaka suka pada si gadis tetapi si gadis sudah ditunangkan.
  • Perbezaan usia – Si tua biasanya lebih mementingkan hasil jangka panjang manakala si muda mementingkan hasil dalam jangka masa pendek.
  • Perbezaan kemahiran – Naruto tidak semahir Sasuke yang ada Sharingan tetapi dia mempunyai Chakra yang tidak terbatas.

Letakkan beberapa konflik pada watak-watak. Apabila keadaan sudah mula memuncak, kita akan memasuki fasa:

KLIMAKS

Klimaks adalah kemuncak cerita. Pada fasa inilah yang paling best sekali. Pada fasa inilah Sasuke berlawan dengan Itachi. Perlawanan yang terhebat akan bertemu di sini. Pertarungan untuk menjadi Shinigami terhandal, peperiksaan akhir untuk menjadi Ninja, luahan perasaan si jejaka kepada si gadis, semua termasuk dalam kategori klimaks.

Klimaks tidak boleh terlalu lama. Klimaks yang terlalu panjang akan menjadi anti-klimaks, di mana pembaca/penonton tidak mahu mengetahui apa yang bakal terjadi. Contoh anti-klimaks yang paling popular adalah drama indon Sinetron.

PENGAKHIRAN

Pengakhiran adalah fasa di mana semua perkara yang berlaku diterangkan rasionalnya. Contoh pengakhiran yang paling faymes: Luke, I’m your father. Satu ayat itu sudah cukup untuk menerangkan motif Darth Vader mencari Luke dan juga mengapa Luke tidak sampai hati membunuh Darth Vader.

Dalam Manga dan anime, fasa pengakhiran ini biasanya lebih panjang daripada klimaks. Watak-watak dalam anime akan meluahkan apa yang mereka rasa dan cuba menerangkan mengapa mereka berbuat sedemikian kepada watak lain. Watak Naruto seringkali menggunakan tema ‘kesunyian’ dan menggunakan alasan itu untuk menerangkan mengapa dia bersusah-payah untuk menjaga teman seperjuangannya.

KESIMPULAN

Dalam fasa kesimpulan, watak-watak biasanya akan mendapat pengalaman baru samada secara fizikal atau rohani. Luke Skywalker dapat mengalahkan Galactic Empire dan menjadi Jedi Master. Naruto berjaya lulus peperiksaan Ninja dan menjadi Genin. Ada juga watak yang kehilangan sesuatu di akhir cerita. Frodo kehilangan jari ketika cuba membuang The Ring. Bella menjadi vampire. Harry Potter kehilangan Dumbledore. Pendek kata, terdapat perubahan yang dialami oleh watak setelah melalui pengembaraan sepanjang cerita.

Ada ke cerita yang menunjukkan watak-watak kekal tidak berubah di akhir cerita? Lihat sitkom dan drama komedi. Biasanya watak-watak akan kembali kepada keadaan asal di akhir cerita. Dengan cara ini, siri sitkom tu dapat diteruskan sehingga pelakon mati siri ditamatkan.

Berambung ke bahagian 2.

Jumaat, 25 Mac 2011

Melukis Komik – Sketching dan inking

Penulis dalam proses mencari idea untuk menghasilkan komik pendek. Tapi sebelum tu, ada baiknya jika penulis berkongsi cara bagaimana penulis menghasilkan lakaran dan inking apabila menghasilkan komik. Cara ini adalah berdasarkan pengalaman dan keselesaan penulis. Cara ini mungkin berbeza bergantung kepada pelukis/manga-ka lain.

characterSketch

Mula-mula penulis akan lakarkan character guna medium seperti pensil atau graphite warna biru gelap. Kalau nak guna warna selain biru pun boleh. Tapi penulis dah terbiasa guna warna ni bila buat lakaran. Penulis akan tandakan kawasan yang hendak digelapkan dengan buat tanda lorekan (hatching). Bila design character, penulis lebih menekankan aspek keringkasan (simplisity simplicity), keseimbangan (balance) dan juga harmoni. Bila design character, keringkasan tu penting sebab kita akan lukis character ni berulangkali. Kalau character tu detail sangat, susah la nak lukis nanti. Tips ni penulis ambil daripada Kishimoto (manga-ka Narutah Naruto).

characterInk

Kalau guna medium digital, penulis akan buat layer baru dan buat inking atas lakaran tu. Kalau guna medium tradisional, penulis akan terus inking atas kertas yang sama. Takpun inking atas kertas lain guna light table. Bila buat inking, penulis biasanya akan jaga ketebalan garisan dan juga overlapping shape. Kalau artwork ni berwarna, penulis cuba elakkan buat hatching. Tapi kalau artwork ni tidak berwarna (hitam putih), penulis akan buat hatching di beberapa bahagian tertentu.

 characterLineartInk

Bila dah siap inking, penulis akan gelapkan kawasan dengan warna hitam. Layer skatching tu penulis hiddenkan. Kalau guna kertas, penulis akan padamkan lakaran pensil dengan pemadam.

characterShade

Sebagai sentuhan terakhir, penulis akan shading di bahagian-bahagian tertentu dengan warna kelabu. Kalau guna medium tradisional, penulis akan gunakan marker Kurecolor. Kalau guna medium digital, biasanya penulis buat layer baru dan warnakan guna warna monochrome. Sekali lagi penulis cuba tekankan aspek harmoni dan keseimbangan dalam lukisan character ni.

Tips bila sketching:

  • Elakkan sketching terlalu detail. Bila dah selesai inking, susah nak padam bekas sketching tu. Lagipun sketchingyang terlalu detail akan menyusahkan proses bila inking.
  • Less is more. Kadang-kadang character yang simple tu lebih memberi impak daripada character yang detail.
  • Sketch keseluruhan character dahulu.
  • Jangan shading/hatching ketika sketching

Tips bila inking:

  • Jaga ketebalan garisan ketika inking. Objek yang dekat mempunyai garisan yang tebal, manakala objek yang jauh mempunyai garisan yang nipis (rujuk inking dalam Manga).
  • Tahan nafas ketika inking. Garisan yang terhasil adalah lebih lembut dan sempurna.
  • Jika inking guna pen dan kertas, alas tapak tangan dengan tisu/kertas nipis untuk mengelakkan peluh dan minyak dari tapak tangan terkena permukaan kertas.

Dalam post berikutnya, penulis akan terangkan cara penghasilan komik. (poof!)

Melukis Komik – Idea dan lakaran kasar

Mahu lukis komik tapi tak tahu macam mana nak mulakan? Takper, penulis faham macam mana perasaannya. Dengan rasa berat hati besar hati, penulis akan berkongsi cara bagaimana penulis menghasilkan komik. Sebelum menghasilkan komik, apakah perkara yang paling utama sekali?

KERJASAMA! Ye, kena ada cerita dan plot.

Kebanyakan pelukis komik yang baru nak melukis komik biasanya mempunyai idea yang sangat besar dan cuba menghasilkan komik dengan jalan cerita yang berat. Ramai yang terpengaruh dengan stail manga yang mempunyai pelbagai plot dengan jalan cerita meleret-leret. Saya nak hasilkan komik tentang pemburu hantu yang bercita-cita untuk memburu semua hantu di dunia ini. Really? Berapa mukasurat komik tu? Berapa tahun baru boleh siap? Berapa banyak watak nak lukis? 10? 20? 100? Larat ke nak lukis hantu banyak-banyak? Entah-entah baru masuk chapter ujian peperiksaan untuk dapatkan lesen berburu hantu, dah tak larat nak melukis lagi.

Naruto26-03

Komik Naruto yang aksi berlawannya sampai 4-5 episod. Tidak termasuk lagi adegan bercakap-cakap sebelum berlawan.

Buat masa ni, tak perlu fikir plot yang berat-berat seperti menghapuskan makhluk asing yang datang ke bumi untuk mencuri biji koko. Cerita yang berat akan memerlukan banyak watak. 2-3 watak biasanya sudah cukup bagi komik 6 muka.

Cuba ambil kisah yang ringkas seperti tertukar handphone lepas tu jatuh cinta. Tak perlu watak yang banyak. 2 watak pun dah cukup. Tak perlu nak lukis background banyak-banyak. Character design pulak jangan terlalu detail sangat. Pelukis dah hasilkan dua character untuk cerita komik ni. Dapat bezakan mana hero dan heroin tak?

character

   Lakaran watak untuk komik.

Bila dah ada watak dan jalan cerita, sekarang kita akan buat draf untuk panel komik. Sebenarnya takde peraturan khusus untuk buat panel komik ni. Cuma kita kena ingat bahawa panel komik perlu disusun supaya memudahkan pembacaan dan tidak mengelirukan pembaca. Ketika buat draf, penulis biasanya akan lebih menumpukan pada komposisi keseluruhan komik. Jika ada panel yang terlebih besar atau terlalu kecil, penulis akan ubah saiz panel tu supaya lebih banyak ruang untuk lukisan nanti.

draftResize Contoh panel komik untuk komik 6 muka surat.

Beberapa tips semasa buat draf komik:

  • Mulakan panel dari kiri ke kanan. Jika nak hasilkan manga, boleh la buat panel dari kanan ke kiri (seperti buku jawi).
  • Pastikan draf tidak melebihi bilangan muka surat yang dirancangkan. Dalam kes ini, 6 muka surat.
  • Lukis keseluruhan draf, jangan terlalu detail. Tujuan draf adalah untuk mengetahui perjalanan cerita (seperti animatics dan storyboard).
  • Tulis nota di tepi draf untuk scene yang kompleks/perlukan lebih detail.
  • Peruntukkan panel yang besar untuk scene yang kompleks/banyak background. Elakkan guna panel besar untuk closeup melainkan jika perlu sahaja.

Lepas ni penulis akan terangkan tentang inking pula. (poof!)

Cara untuk melukis – Ada apa dengan warna?

Kalau nak bercerita pasal warna, rasanya tak cukup kalau nak diterangkan dari awal sampai habis. Tapi penulis akan kupas beberapa perkara tentang warna. Pendapat tentang warna ni lebih kepada pendapat peribadi daripada pengalaman penulis sendiri. So kalau ada yang tidak setuju, penulis harap tiada yang hantar bom dalam peti surat marah.

Pertama sekali, warna selalu dikaitkan dengan mood dan emosi. Ada benarnya, tapi benda ini lebih bersifat personal dan sudah hendak dibuktikan secara saintifik. Ini kerana warna tidak bertindak sebagai satu unit tunggal, tapi bertindak dalam satu kumpulan. Macam orang pulak.

19 18

Misalnya, satu tompok warna merah mungkin tidak membawa apa-apa makna, tetapi beberapa kelompok warna boleh membawa / menimbulkan emosi. Mungkin sebab tu tiada benda yang ada satu warna sahaja. Bahkan bendera atau logo perlu ada 2 atau 3 warna. Kalau direnung balik, bendera yang ada 2/3 warna pun boleh menghasilkan perasaan dan emosi yang meluap-luap.

Kalau melukis pula, ada baikya kalau kita hadkan warna kepada 4-5 warna sahaja. Kombinasi warna yang berbeza akan memberi mood dan feel berbeza. Sebab tu bila buat character design, ada color study. Rujuk gambar di bawah:

35239_420887014892_805009892_4401979_1096492_n

Walaupun character yang dilukis adalah sama, tetapi peribadi dan personaliti watak tesebut dapat dibezakan dengan menggunakan kombinasi warna yang berbeza. Dalam color study, biasanya kita akan memilih warna yang dapat mencerminkan peribadi watak. Hanya dengan menggunakan warna kita dapat memberitahu mana watak yang baik dan mana watak yang jahat. (tips: watak baik biasanya menggunakan warna-warna panas dan warna-warna terang, manakala watak jahat akan menggunakan warna-warna sejuk dan warna gelap).

Satu lagi apabila ‘bermain’ dengan warna, pilih atau eksperimen dengan pelbagai kombinasi warna. Dapatkan beberapa swatch yang ada dalam 4-5 warna dan cuba explore dengan hasilkan ilustrasi dengan kombinasi warna tu.

pallette

 Palette

Dalam post akan datang, kita akan explore tentang skin tone pulak. (poof!)

Khamis, 24 Mac 2011

Lukisan watercolor

Penulis tak ingat bila penulis buat lukisan ni tapi penulis nak berkongsi dengan pembaca semua.

Mangosteen

Kalau ikut kertas, itu kertas water color hot press yang agak mahal. Kualiti cat pun baik. Somehow penulis rasa macam imnesia sebab tak ingat bila penulis lukis buah manggis ni. Apa pun, ini merupakan bukti bahawa penulis juga boleh menggunakan cat air (walaupun dah lupa).

Rabu, 23 Mac 2011

Cara untuk melukis – Overlapping shape

Sebelum ini, penulis ada terangkan tentang melukis menggunakan basic form (bukan basic shape). Ok, lepas dah siap melakar gunakan basic shape form, Pastinya ada yang tak sabar-sabar nak mulakan inking.

Ops. Berhenti dulu. Jangan terburu nafsu.

Sebelum mulakan inking, kita kena faham objek yang kita nak inking tu. Fahamkan macam mana tu? Kalau kita terus menginking mengkhinzir membabi buta, inking kita akan jadi flat dan kelihatan sangat 2D. sekali lagi penulis ingatkan bahawa melukis adalah berkaitan dengan menghasilkan ilusi 3D. Jadi ambil sedikit masa dan analisa dulu lukisan yang akan kita hasilkan.

Pelukis-pelukis biasanya menggunakan overlapping shape untuk memberi ilusi ruang dan jarak dalam lukisan. Prinsipnya mudah sahaja: bentuk/objek yang menutup bentuk/objek lain adalah lebih dekat. Kita menggunakan prinsip ini tanpa kita sedar. Awan yang menutupi matahari adalah lebih dekat berbanding matahari.

shape01

Dalam lakaran di atas, terdapat dua objek yang sama saiz. Kalau kita nak tunjukkan bahawa objek A lebih dekat berbanding objek B, kita boleh melukis seolah objek A menutupi objek B seperti ini:

shape02

Kalau kita nak tunjukkan bahawa objek B adalah lebih dekat, kita akan lukis sebegini:

shape03

Tapi, bagaimana kalau kita objek di atas adalah satu objek yang bercantuman? Bagaimana kita hendak tunjukkan bahawa bahagian A lebih dekat daripada bahagian B? Dalam kes ini kita boleh gunakan partial overlapping shape.

shape04

Mari kita lihat dua lukisan yang menggunakan overlapping shape dan partial overlapping shape.

shape07 Lukisan di sebelah kiri menggunakan overlapping shape, manakala lukisan di sebelah kanan menggunakan partial overlapping shape. Lukisan di sebelah kiri kelihatan agak ‘rata’ dan tidak timbul jika dibandingkan dengan lukisan di sebelah kanan. Partial overlapping shape akan kelihatan lebih efektif jika kita menggunakan garisan yang berbeza ketebalan.

shape08

Overlapping shape juga membantu memberikan bentuk dalam lukisan anatomi.

body

So lain kali jika ada lukisan yang kelihatan flat, cuba lukis semula dan gunakan overlapping shapes. Mungkin dengan penerangan ini dapat membantu pembaca memahami tentang lukisan dengan lebih baik.

Vector Art

Dipersembahkan, lukisan vector yang dah lama diperap dalam folder hard disk.

bugatti

Car

Rindu pulak rasanya nak berkarya menggunakan vector. Kena bahagikan masa untuk layan vector lepas ni.

Isnin, 21 Mac 2011

Lukisan tangan

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya bila penulis nak kahwin mana lukisan tangan penulis? Takkan penulis tahu melukis guna Photoshop dan tablet sahaja?

Untuk memuaskan hati pelbagai pihak yang sering bertanya tanpa henti, penulis siarkan hasil lukisan tangan yang penulis hasilkan sendiri.

Hand01

Hand02 Er.. ini LUKISAN gambar tangan. Takde lukisan ke yang dilukis menggunakan media tradisional?

Ohhh.. cakaplah awal-awal.. Mestilah ada..

Drawing 01

Drawing 02

Drawing 03

Drawing 04

Drawing 05

Ini pula lukisan untuk perspektif.

Perspex 01

Perspex 02

Perspex 03

Perspex 04

Perspex 05

Perspex 06

Hopefully post ni akan memuaskan hati pelbagai pihak.. (poof!)

Jumaat, 18 Mac 2011

Cara untuk melukis – Basic shape

Sebelum melukis, pastikan kita lukis basic shape terlebih dahulu.

Penulis dapat ‘tip’ melukis ni ketika belajar kursus animasi Flash ketika di Kuala Terengganu. Mungkin ada beberapa teman penulis yang menerima ‘ajaran’ itu bulat-bulat, tetapi penulis terasa ada sesuatu yang tidak tepat. Penulis tak kata kaedah tu salah tapi setelah beberapa kali membuat percubaan dan eksperimen, penulis rasa ada sesuatu yang tak kena dengan kaedah melukis yang penulis nyatakan tadi.

shape and form 

Pertama sekali kaedah melukis menggunakan basic shape sebagai langkah awal merupakan satu permasalahan yang besar atas beberapa sebab. Pertama sekali, ia melibatkan langkah pertama sebelum melukis dan risikonya di sini adalah jika kita salah pada langkah pertama, maka besar kemungkinan kita akan tersalah langkah pada langkah berikutnya. Yang kedua, penggunaan kaedah basic shape itu sendiri. Basic shape dalam konteks yang biasa digunakan merujuk kepada bentuk asas seperti bulat, segi empat sama, segi empat tepat, segitiga dan sebagainya.

Apa yang penulis cuba sampaikan di sini adalah pendekatan melukis menggunakan basic shape atau bentuk asas adalah antara sebab mengapa sesetengah lukisan kelihatan flat atau rata. Lukisan yang dihasilkan kelihatan tiada dimensi atau kedalaman. Objek yang jauh atau dekat kelihatan sama jaraknya bahkan ada objek yang dilukis kelihatan leper.

Kenapa jadi begitu? Kenapa lukisan yang dilukis menggunakan basic shape kelihatan leper dan flat? Jawapannya ada pada basic shape itu sendiri. Cuba kita lihat kembali apakah definisi lukisan:

Lukisan adalah penghasilan bentuk (form) atas permukaan rata.

Kata kunci di sini adalah bentuk atau form. Form adalah bentuk dalam 3D. Dengan kata lain, lukisan menekankan penghasilan imej ilusi 3D atas permukaan rata.

Jadi apa masalahnya dengan penggunaan basic shape?

Basic shape, jika masih ada yang tidak jelas, merupakan objek berbentuk 2D. Form merupakan bentuk 3D. Bagaimana kita hendak menghasilkan ilusi 3D jika kita menggunakan basic shape yang pada dasarnya berbentuk 2D?

Sebaliknya, kaedah yang lebih tepat adalah:

Melukis dan melakar secara kasar menggunakan basic form.

Dalam bahasa Melayu, ‘form’ dan ‘shape’ membawa maksud yang sama iaitu bentuk. Akan tetapi, form merupakan bentuk 3D manakala shape merupakan bentuk 2D. Perbezaan istilah dan maksud ini yang biasanya menyebabkan kekeliruan di kalangan pelukis baru.

shape and form

Jadi sebelum melukis, pastikan anda membahagikan (breakdown) objek yang diingin dilukis kepada basic form, bukannya basic shape. Walaupun kita melukis di atas permukaan 2D, tetapi minda kita perlu berfikir secara 3D.

Harapnya penerangan ini membawa dimensi baru dalam pemahaman tentang lukisan.

Selasa, 15 Mac 2011

Drama pukul 4.00 pagi

Jam menunjukkan pukul 4.00 pagi dan penulis bangun pagi untuk makan nasik (penulis memang rasa lapar kalau tetiba terjaga di waktu pagi). Di dapur ada lauk sambal telur yang mak penulis buat malam sebelumnya (sebab penulis skip dinner malam tu) dan penulis ambil sedikit sambal dan nasi. Penulis kunyah nasi dan sambal di dalam kedinginan pagi ditemani bunyi cengkerik dan hujan yang turun rintik-rintik. Tiba-tiba..

Penulis terkejut. Terasa sensasi hangat berbara di dalam mulut penulis. Lidah penulis seakan-akan mengeras. Telinga mula seperti keluar asap. Bergegas penulis berlari ke dapur mencari air. Penulis teguk air masak berkali-kali. Kepedasan sambal dalam mulut penulis masih belum hilang. Terasa seperti lidah ini digigit-gigit. Muka penulis menjadi merah padam sambil mencari-cari kenapa sambal ni menjadi sangat pedas.

Penulis ternampak satu objek berwarna merah di tepi singki. Kecil sahaja objek ini. tapi penulis yakin inilah punca kenapa sambal yang penulis makan menjadi sangat pedas. Penulis ambil satu dan bawa ke dalam bilik. Penulis belek-belek, buka komputer dan mula melukis.

chilli Inilah caranya bagaimana pelukis membalas dendam pada cili ni. Jangan tanya rasional kenapa penulis membalas dendam pada cili ni dengan cara melukis. Dan untuk dua jam berikutnya, penulis tak dapat lelapkan mata sebab kepedasan cili yang masih belum hilang.

Isnin, 14 Mac 2011

Berangkat ke Segamat

Map picture

Penulis sedang berangkat ke Segamat untuk beri Ceramah Kerjaya dan Bengkel Seni Visual selama 2 hari (16-17hb Mac 2011) di Kolej Komuniti Segamat. Lepas habis ceramah, penulis akan bertolak ke Kedah untuk hadiri majlis kenduri kahwin adik penulis.

So, tiada post atau blogging dalam masa satu minggu ni kerana melayan anak buah kesibukan. Penulis akan sambung posting bila keadaan mengizinkan.

Jumpa lagi dalam post akan datang. (poof!)

Takkan baca je? Komen sikit..

Link