Ahad, 27 Mac 2011

Mari bercerita – Penghasilan plot dan jalan cerita bahagian 1

Scene: Di hadapan unggun api di tengah hutan di temani bulan yang terang.

Ada sesiapa yang berminat hendak menghasilkan filem, animasi, kartun atau komik tapi tak tahu bagaimana hendak memulakan cerita? Ada watak yang cool tapi tak tahu macam mana nak mulakan pengembaraan? Mahu hasilkan cerita epik tapi masih beku dan buntu? Kalau begitu, mari berkumpul di sini – TAPI JANGAN DEKAT SANGAT – dan kita akan bercakap tentang penghasilan plot dan jalan cerita.

Untuk memudahkan perbincangan, kita akan gunakan filem Star Wars sebagai contoh. Jadi jika ada yang masih belum menonton Star Wars, sila berbuat demikian sebelum meneruskan pembacaan.

Kita mulakan dengan perkara yang asas dulu: Menurut Aristotle dalam bukunya bertajuk Poetic, penghasilan plot terbahagi kepada 5 bahagian:

  1. Pengenalan
  2. Perkembangan cerita
  3. Klimaks
  4. Pengakhiran
  5. Kesimpulan
PENGENALAN

Dalam fasa pengenalan, kita akan perkenalkan para watak dan kehidupannya. Kita juga akan perkenalkan beberapa latar belakang cerita. Dalam filem Star Wars, kita diperkenalkan dengan watak-watak seperti Luke Skywalker, Princess Leia, Obi-wan Kelubi Kenobi, Darth Vader, R2-D2 dan juga C3P-O. Kita juga ditunjukkan dengan keadaan ketika di bawah pemerintahan Galactic Empire. Luke Skywalker digambarkan sebagai anak muda yang sering dikongkong oleh keluarga angkatnya. Kalau boleh, cuba terangkan keadaan yang normal yang dialami oleh watak-watak.

PERKEMBANGAN CERITA

Dalam fasa ini, watak utama akan mengalami insiden yang bakal mengubah kehidupan dan masa depannya. Perlu diselitkan juga unsur-unsur konflik antara watak untuk menunjukkan ketegangan yang timbul. Dalam filem Star Wars, Luke menerima mesej Princess Leia yang bakal mengubah haluan hidupnya dan menjadi seorang Jedi.

Sedikit nota tentang konflik: Konflik adalah pertembungan dua idea yang bertentangan dan saling mempunyai kebenaran tersendiri. Cerita yang tiada konflik biasanya tidak mempunyai rasa. Contoh:

Watak A: Jom kita makan kat kedai mamak.

Watak B: Jom.

Watak A: Lepas ni kita gi Karaoke plak nak?

Watak B: Ok je.

Watak A: Dah lewat ni, jom balik.

Watak B: Ok.

Rasa sangat hambar kan? Mari kita lihat cerita yang sama tetapi dengan sedikit konflik.

Watak A: Jom kita makan kat kedai mamak.

Watak B: Tak nak lah. Aku ada kerja ni

Watak A: Ada kerja? Kata kerja kau dah siap?

Watak B: Ada lagi la. Kau ni asyik enjoy je. Kerja pun tak buat.

Watak A: Kerja aku dah siap la. Aku suruh Si C buatkan.

Watak B: Kau suruh C buatkan? Aku bagitahu boss baru padan muka kau.

Dengan adanya konflik, jalan cerita boleh dikembangkan lagi. Jika tiada konflik dalam penceritaan, tidak wujudlah cerita. Pendek kata, cerita yang tiada konflik tidak patut dijadikan cerita langsung!

Konflik boleh berkisar tentang:

  • Perbezaan fahaman – ketua kampung yang berbulu dengan pembangunan yang dibawa oleh anak muda yang datang dari bandar.
  • Perbezaan perasaan – si jejaka suka pada si gadis tetapi si gadis sudah ditunangkan.
  • Perbezaan usia – Si tua biasanya lebih mementingkan hasil jangka panjang manakala si muda mementingkan hasil dalam jangka masa pendek.
  • Perbezaan kemahiran – Naruto tidak semahir Sasuke yang ada Sharingan tetapi dia mempunyai Chakra yang tidak terbatas.

Letakkan beberapa konflik pada watak-watak. Apabila keadaan sudah mula memuncak, kita akan memasuki fasa:

KLIMAKS

Klimaks adalah kemuncak cerita. Pada fasa inilah yang paling best sekali. Pada fasa inilah Sasuke berlawan dengan Itachi. Perlawanan yang terhebat akan bertemu di sini. Pertarungan untuk menjadi Shinigami terhandal, peperiksaan akhir untuk menjadi Ninja, luahan perasaan si jejaka kepada si gadis, semua termasuk dalam kategori klimaks.

Klimaks tidak boleh terlalu lama. Klimaks yang terlalu panjang akan menjadi anti-klimaks, di mana pembaca/penonton tidak mahu mengetahui apa yang bakal terjadi. Contoh anti-klimaks yang paling popular adalah drama indon Sinetron.

PENGAKHIRAN

Pengakhiran adalah fasa di mana semua perkara yang berlaku diterangkan rasionalnya. Contoh pengakhiran yang paling faymes: Luke, I’m your father. Satu ayat itu sudah cukup untuk menerangkan motif Darth Vader mencari Luke dan juga mengapa Luke tidak sampai hati membunuh Darth Vader.

Dalam Manga dan anime, fasa pengakhiran ini biasanya lebih panjang daripada klimaks. Watak-watak dalam anime akan meluahkan apa yang mereka rasa dan cuba menerangkan mengapa mereka berbuat sedemikian kepada watak lain. Watak Naruto seringkali menggunakan tema ‘kesunyian’ dan menggunakan alasan itu untuk menerangkan mengapa dia bersusah-payah untuk menjaga teman seperjuangannya.

KESIMPULAN

Dalam fasa kesimpulan, watak-watak biasanya akan mendapat pengalaman baru samada secara fizikal atau rohani. Luke Skywalker dapat mengalahkan Galactic Empire dan menjadi Jedi Master. Naruto berjaya lulus peperiksaan Ninja dan menjadi Genin. Ada juga watak yang kehilangan sesuatu di akhir cerita. Frodo kehilangan jari ketika cuba membuang The Ring. Bella menjadi vampire. Harry Potter kehilangan Dumbledore. Pendek kata, terdapat perubahan yang dialami oleh watak setelah melalui pengembaraan sepanjang cerita.

Ada ke cerita yang menunjukkan watak-watak kekal tidak berubah di akhir cerita? Lihat sitkom dan drama komedi. Biasanya watak-watak akan kembali kepada keadaan asal di akhir cerita. Dengan cara ini, siri sitkom tu dapat diteruskan sehingga pelakon mati siri ditamatkan.

Berambung ke bahagian 2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Takkan baca je? Komen sikit..

Link