Isnin, 28 Mac 2011

Mari bercerita – Penghasilan plot dan jalan cerita bahagian 3

Bersambung daripada bahagian 2: Kita sudak mempunyai watak bernama Kudos dan Lana. Kita sudah tetapkan ending bahawa Kudos akan berjaya menewaskan Lana. Fasa Kudos menewaskan Lana merupakan fasa Klimaks dan fasa Pengakhiran. So bagaimana kita hendak masuk fasa Pengenalan dan Perkembangan Cerita?

Kita kena ingat bahawa setiap perkara yang berlaku adalah sebab dan akibat (cause and effects). Saya rasa lapar (sebab) maka saya makan nasik (akibat). Saya geram dengan budak hodoh tu (sebab) maka saya tumbuk muka dia (akibat). Sasuke bencikan abangnya (sebab) maka dia bersumpah untuk membunuhnya (akibat). Bila kita dah tahu apakah akibatnya, maka kita perlu mendapatkan apakah sebabnya sesuatu peristiwa itu berlaku.

Kudos menewaskan Lana (akibat) mungkin kerana:

  • Kudos dah lama bencikan Lana
  • Kudos dah bersumpah akan menewaskan Lana
  • Kudos ada kuasa terpendam (macam Naruto)
  • Kudos ada senjata rahsia
  • Kudos nak tewaskan Lana untuk buktikan bahawa dia adalah orang terkuat di kampung Konoha.
  • Kudos main tipu.

Setiap satu daripada sebab di atas boleh pula dikembangkan lagi. Kenapa Kudos bencikan Lana? Mungkin kerana Kudos beranggapan bahawa Lana adalah pembunuh tok gurunya. Mungkin kerana Lana reject Kudos dan pilih lelaki yang jauh lebih macho dari Kudos. Untuk lebih mengarut lagi, mungkin Kudos bencikan Lana kerana segala harta pusaka yang diwarisinya terletak atas nama Lana dan dengan mengalahkan Lana, dia dapat mewarisi segala harta pusaka itu. Dalam sedar atau tidak, kita sudah mempunyai Pengenalan dan sebab yang akan menjurus kepada Perkembangan Cerita.

  • Pengenalan – Memperkenalkan watak Kudos yang serba miskin dan dihina.
  • Perkembangan Cerita – Kudos terserempak dengan Lana. Lana adalah punca kenapa Kudos menjadi miskin. Kudos berazam mahu menewaskan Lana dan mendapatkan kembali hak harta pusaka (konflik).
  • Klimaks – Kudos menyerang Lana secara hendap. Segala hikmat dan ilmu sakti yang dipelajari digunakan untuk menyerang Lana. Lana cuba menepis serangan Kudos.
  • Pengakhiran – Ketika mahu menewaskan Lana, Kudos terpandang loket di leher Lana. Rupa loket itu adalah sama dengan rantai yang dipakai oleh Kudos.
  • Kesimpulan – Rupanya Kudos dan Lana adalah adik beradik yang jauh terpisah. Lana pulang ke kampung untuk membahagikan harta kepada Kudos.

Bak kata Kaoru dalam komik Klasroom Gempak, sesebuah cerita perlu ada aksi, persahabatan, usaha dan percintaan. Tapi kalau ada satu elemen pun sudah kira baik bagi komik 6 muka surat.

Beberapa elemen tambahan yang boleh digunakan untuk mengembangkan plot dan jalan cerita:

  • Checkov Gun – sesuatu benda yang pada mulanya tidak membawa apa-apa erti tetapi menjadi item penting di kemuncak cerita. Dalam filem Back to the Future, menara jam yang pada mulanya tidak membawa apa-apa maksud akhirnya membolehkan Marty kembali ke masa hadapan. Cincin pemberian atok rupanya mempunyai peta untuk menuju ke gua harta karun.
  • Lampshaded – Peristiwa/perbuatan yang pada mulanya tiada maksud rupanya memberi kesan yang besar di akhir cerita. Dalam Futurama, hobi Fry yang suka menonton TV akhirnya membolehkan dia menewaskan makhluk asing yang datang ke bumi. Dalam Karate Kid, tendangan yang dipelajari ketika berlatih membolehkan watak memenangi kejuaraan peringkat akhir.
  • Flashback – Ingatan semula pada peristiwa lampau. Flashback akan memberi maklumat tambahan tentang sesuatu peristiwa dan mengapa peristiwa itu berlaku.
  • Flashforth – Menunjukkan peristiwa yang bakal berlaku jika sesuatu tindakan diambil. Banyak digunakan dalam drama Lost dan juga filem Shaun of the Dead.
  • Plot device – prop atau alat yang digunakan untuk mengemabnagkan cerita. Tanpa alat ini, cerita itu tidak boleh berkembang. Kehadiran alat itu juga kadang-kadang datang tanpa diundang. Misalnya alat ajaib Doraemon untuk membantu Nobita dan juga gajet tambahan dalam siri Kamen Rider. Penggunaan plot device tidak digalakkan kerana menggambarkan penulisan cerita yang lemah.

Jenis-jenis pengakhiran cerita:

  • Happy ending – orang jahat kalah, hero dan heroin menang, kampung terselamat dan hero mendapat kebahagiaan. Ending yang menjadi pilihan ramai penulis.
  • Sad ending – Hero kalah, orang jahat menang. Ataupun hero menang tapi kehilangan anggota atau ahli keluarga. Ataupun hero boleh menang jika berpisah / mengorbankan orang lain.
  • Twist ending – Pengakhiran yang tidak seperti dijangkakan. Dijangkakan orang jahat mati rupanya masih hidup. Contoh terbaik adalah filem Chaos Theory dan juga Swordfish.
  • Deusex-machina – pengakhiran yang tidak disangka-sangka. Contoh paling faymes adalah cerita si Tanggang di mana dia disumpah menjadi batu. Ataupun tiba-tiba turun hujan api dan membunuh semua orang jahat. Nak lagi popular, muncul si pari-pari dan membantu menewaskan Bawang Merah watak antagonis. Deus ex-machina bermaksud ‘tuhan di dalam mesin’ di mana dalam pementasan teater klasik, tuhan akan turun ke bumi dan menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh para watak. Elakkan penggunaan ending jenis ini kerana nampak sangat penulis cerita ini tiada idea lain.
  • Cliffhanger – Ending jenis ‘tergantung’ dan memujuk pembaca/penonton untuk mengikuti sambungan cerita di keluaran akan datang. Banyak digunakan dalam komik-komik Hong Kong.

Masih banyak lagi cara untuk mengembangkan jalan cerita. Terpulang kepada idea dan kreativiti sang penulis untuk menghasilkan cerita yang menarik. Pokok pangkalnya adalah idea. Jika sang penulis mempunyai idea yang baik dan tahu untuk mengembangkannya, tidak mustahil idea itu akan menjadi cerita yang menarik dan mampu menarik selera penonton. Akhir kata, selamat berkarya dan luaskan daya imaginasi.

Masa untuk memadamkan unggun api. (fooh!)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Takkan baca je? Komen sikit..

Link